Viewable With Any Browser - Kempen Ke arah WWW Bebas Dari Pelayar Tertentu

Tarikh kemaskini : March 09, 1998

Note: Versi asal laman ini (Bahasa Inggeris) ditulis oleh Cari D. Burstein untuk menerangkan sentimen kempen "Best Viewed With Any Browser". Jika anda dirujuk ke sini dari tapak web yang mempunyai grafik atau teks "Best Viewed With Any Browser", itu bermakna pengarang tapak tersebut menyokong kempen ini dan mengambil bahagian dalam usaha mengurangkan rekabentuk web berasaskan hanya pelayar tertentu. Sila baca maklumat di bawah untuk mendapatkan keterangan selanjutnya dan menentukan samada anda berminat menyertainya.

"Anyone who slaps a 'this page is best viewed with Browser X' label on a Web page appears to be yearning for the bad old days, before the Web, when you had very little chance of reading a document written on another computer, another word processor, or another network."
  -- Tim Berners-Lee in Technology Review, July 1996

Jika anda melawat laman ini, anda mungkin ingin tahu tentang butang "Best Viewed With Any Browser" yang terletak di atasnya. Berikut ialah penjelasan saya. Saya sangat tidak selesa dengan budaya masakini ke arah tapak web yang direkabentuk hanya untuk pelayar tertentu dan mengabaikan pelayar lain. Bagi saya, adalah amat tidak selesa apabila melawat ke suatu tapak web dan mendapati saya tidak diterima melainkan saya melawatnya dengan Netscape atau Internet Explorer. Juga amat menyedihkan apabila anda melawat ke suatu tapak web yang membenarkan anda memasukinya dengan sebarang pelayar, tetapi sangat bergantung kepada tags yang hanya disokong dalam beberapa pelayar yang popular, atau tidak menyokong pelayar berasaskan teks.

Saya ingin mengubah budaya ini. Saya tahu saya tidak mampu mengubah web sendirian, tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha juga dan inilah ikhtiar saya ke arah WWW yang bebas pelantar, tidak bergantung kepada pelayar tertentu. Jadi, saya memaparkan butang "Best Viewed With Any Browser" untuk menekankan bahawa saya cuba mencipta tapak web saya supaya boleh dilihat dengan sebarang pelayar tetapi tetap berfungsi sepenuhnya. Beberapa laman mungkin kelihatan lebih baik dalam beberapa pelayar berbanding pelayar yang lain, tetapi semuanya sepatutnya boleh dibaca oleh sebarang pelayar. Saya cuba menggunakan tag khas untuk sesuatu pelayar dalam cara yang sesuai, itu pun hanya jika ada sebab yang baik untuk menggunakannya. Dalam kes-kes di mana saya menggunakan pengaturcaraan khas untuk pelayar tertentu, seperti peta imej, kerangka, Java dll., saya cuba sedaya upaya menyediakan alternatif kepada pelayar yang tidak menyokongnya. Sila beritahu saya jika anda bertemu sesuatu dalam laman saya yang tidak boleh digunakan dalam pelayar anda (jelaskan pelayar apa dan apa yang tidak berfungsi) dan saya akan cuba membaikinya.

Saya persilakan sesiapa yang ingin menyertai usaha ini. Salinlah grafik yang telah saya sediakan dari laman saya dan gunakannya dalam laman anda, atau gunakan salah satu dari beberapa grafik yang disediakan oleh peserta-peserta kempen yang lain. Jika anda ingin mencipta grafik yang lain untuk kempen ini, silakan! (dan beritahu saya jika saya boleh sediakan grafik itu untuk digunakan orang lain) Saya bukan seorang artis grafik dan saya tahu grafik yang saya sediakan bukanlah hebat. Saya berbesar hati jika anda dapat membuat pautan dari grafik itu ke laman ini, supaya orang ramai tahu apa yang dimaksudkannya. Anda juga boleh mencipta laman anda sendiri berkenaan kempen ini, tapi jika anda tidak sudi, tidak mengapa.

Jika anda mahu, berikut ialah contoh keratan kod html yang anda boleh gunakan (dengan perubahan yang sesuai):

<p><a href="http://www.anybrowser.org/campaign/"> <img src="laluan-ke-grafik/namagrafik" width="lebar-grafik-dalam-pixels" height="tinggi-grafik-dalam-pixels" alt="Best Viewed With Any Browser" /></a></P>

Perhatian: Pilihlah satu grafik dari laman Any Browser Graphics dan salin ke direktori laman web anda. Ubah kod di atas supaya sesuai dengan setup dan grafik anda.

Jika anda tidak suka memaparkan grafik di tapak web anda, tapi mahu menjelaskan bahawa tapak anda sesuai dengan sebarang pelayar, anda boleh tambahkan pautan teks sahaja yang menyatakan sesuatu lebih kurang begini: "Best Viewed With Any Browser" atau: "Viewable With Your Favorite Browser" (atau apa sahaja ayat yang anda suka). Kemudian anda pautkan teks itu dengan laman saya ini atau anda boleh mencipta laman anda sendiri yang menerangkan kempen ini supaya sesiapa yang berminat boleh mencari maklumat selanjutnya, atau merekabentuk laman mereka supaya dapat dilihat oleh sesiapa sahaja.

Ada dua sebab utama perlunya meletakkan grafik dan/atau teks tersebut jika anda merekabentuk tapak web yang boleh dilihat oleh sebarang pelayar:

  • Membolehkan pelawat tahu bahawa anda berusaha menjadikan tapak anda boleh digunakan oleh setiap orang.
  • Menggalakkan orang lain merekebentuk tapak mereka supaya boleh dilihat oleh sebarang pelayar.

Saya telah membuat laman Accessible Site Design Guide yang membincangkan isu kebolehcapaian laman web dan bagaimana menjadikan laman anda mudah dicapai. Rujuk juga tapak-tapak yang disenaraikan di bawah untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Jika anda terjumpa tapak yang tidak boleh dicapai dan anda mahu menggalakkan penciptanya membuatkannya boleh dilihat oleh sebarang pelayar, bagus juga jika anda menghantar sedikit mesej. Ada beberapa contoh surat boleh didapati dari laman ini.

Saya berharap anda akan menyertai usaha mengurangkan rekabentuk web hanya untuk pelayar tertentu.

Hubungi saya jika anda mempunyai sebarang soalan, komen atau cadangan di campaign AT anybrowser DOT org.